10 Azam Tahun Baru yang Paling Popular

7:10:00 pm Sha Nazri 0 Comments

Year 2014, January, happy new year 2014


Hai anda yang sedang membaca blog saya..Apa khabar? Salam 2014 saya ucapkan. Sudah ada azam baru? Jika masih tercari-cari apa azam tahun 2014, masih belum terlambat lagi. Jom saya kongsikan antara azam tahun baru yang anda boleh realisasikan.

1.  MENURUNKAN BERAT BADAN
Nak kurus... Azam tahun baru yang paling popular.
Malam tahun baru sudahpun berjanji dengan diri sendiri untuk menurunkan berapa kilogram berat badan. Tambahan lagi bila tengok iklan-iklan yang tunjuk pinggang ramping kalah kerengga, semangat nak kurus semakin membara di jiwa. Masalah berat badan ini bukan sahaja di Malaysia malah di Amerika Syarikat lebih 66% daripada penduduknya mengalami masalah obesiti. Nak turunkan berat badan tu memanglah boleh..tapi haruslah menetapkan matlamat yang munasabah supaya tidak memakan diri sendiri.


2.  LEBIHKAN MASA DENGAN KELUARGA
Seringkali kita rasa masa sangat mencemburui kita. Sekejap sahaja masa sudah berlalu. Makin dikejar masa, semakin ia berlalu dengan pantas. Teringat saya kata-kata Ustaz Badli Shah dalam rancangan Cinta Ilmu, TV Alhijrah. Masa yang semakin cepat berlalu itu salah satu daripada tanda-tanda kiamat sudah dekat. 
Memang agak sukar untuk membahagikan masa bersama keluarga apatah lagi dalam keadaan sekarang kebanyakan ibu bapa keluar bekerja dan anak-anak pula pergi ke sekolah atau dihantar ke nursery. Tidak salah jika kuat bekerja, tetapi anda perlu juga meluangkan masa untuk melakukan aktiviti bersama keluarga seperti berkelah di pantai yang indah atau pergi bercuti ke tempat-tempat yang menarik. Dalam masa yang sama ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan membina pandangan positif dalam diri apabila kembali bertugas nanti.


3. BERHENTI MEROKOK
Di Malaysia jumlah perokok meningkat kepada 4.7 juta orang pada tahun lalu berbanding 3.1 juta orang pada 2007. Purata perokok di Malaysia membelanjakan sebanyak RM178.80 sebulan untuk membeli rokok.-sumber 
Kalau  sebulan pun dah beratus ringgit, setahun dah jadi beribu ringgit. Sekiranya si perokok tidak merokok selama 5 tahun, mereka dapat menyimpan sebanyak RM10,728..Fuh..bayangkan berapa banyak pulangan yang dapat kalau anda simpan dalam ASB. Namun, ramai yang masih membazirkan wang mereka dan juga mensia-siakan kesihatan mereka. Mudah-mudahan mereka sedar dan berazam untuk berhenti merokok tahun ini. Duit Selamat..diri tak mudarat.


4. MENYUSUN ATUR
Menyusun atur dan mengemas rumah adalah perkara yang memang tidak dapat dipisahkan dengan ibu-ibu. Ibarat isi dengan kuku, aur dengan tebing..Setiap hari ibu-ibu perlu berhadapan dengan proses mengemas dan menyusun. Susun pinggan mangkuk selepas dikeringkan, susun pakaian dalam almari, kemas dapur selepas memasak dan banyak lagi. Kalau nak disenaraikan di sini pasti senarainya panjang berjela. Mungkin ada yang ingin membuat transformasi besar-besaran tahun ini seperti mengemas, menyusun atur perabot dan peralatan di rumah secara keseluruhannya. 


5. BELAJAR SESUATU YANG BARU
Ramai yang membuat keputusan  untuk meluaskan pengetahuan mereka samaada untuk belajar kemahiran baru ataupun melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Mungkin ada diantara anda yang sedang merancang untuk belajar kemahiran memasak atau mendapatkan segulung ijazah pada tahun ini. Gunakan peluang dan kesempatan yang ada untuk belajar dan mencari ilmu. Secara tidak langsung ia dapat membantu memperbaiki kehidupan seharian anda pada masa akan datang.



6. MENJIMATKAN WANG
Dalam keadaan ekonomi hari ini kenaikan harga barang keperluan harian rakyat menjadi topik paling hangat di perkatakan. Cara yang paling mudah untuk berjimat ialah jangan membazir. Beli apa yang anda makan dan makan apa yang anda beli. Sentiasa survey kedai yang menawarkan harga yang lebih rendah. Mulakan perubahan dengan menabung atau membuka akaun simpanan di bank.


7. KELUAR DARI HUTANG
Ramai rakyat Malaysia termasuk golongan muda yang berhutang. Ada diantara mereka telah diisytihar muflis kerana dibebani dengan masalah hutang. Hutang kereta, hutang rumah, hutang pinjaman pelajaran, hutang kad kredit, hutang karpet, hutang kawan-kawan, hutang pinggan mangkuk dan banyak lagila.. Mungkin pada tahun 2014 sudah sampai masanya anda menetapkan matlamat untuk membayar kesemua hutang. Senaraikan berapa jumlah hutang yang perlu dibayar dan sentiasa menepati masa apabila membayar hutang. Paling penting ialah berhenti membuat hutang yang baru jika tiada keperluan untuk berhutang. Kalau asyik gali lubang tutup lubang sampai bila-bilapun akan dibelenggu dangan masalah hutang yang tidak akan selesai.


8. KITAR SEMULA
Jika anda mendapati diri anda membaling segala-galanya ke dalam tong sampah, kemudian rasa bersalah berbuat demikian, anda mungkin dapat menyelesaikannya dengan cara mengitar semula. Kitar semula sangat penting  kerana jumlah bahan buangan atau sisa yang di buang oleh kita sendiri semakin meningkat dari semasa ke semasa. Anda boleh mulakan dengan mengasingkan barang yang boleh dikitar semula antaranya seperti plastik, kaca, kertas, tin aluminium, perabot dan barang elektrik. 
Anda boleh menghantar barang yang boleh dikitar semula ke lokasi tong kitar semula atau di pusat pengumpulan barang kitar semula. Anda juga boleh membeli barang di pasaraya yang boleh dikitar semula seperti plastik dan kaca.  Ataupun tunggu je apek suratkhabar lama datang ke kawasan rumah anda. Anda boleh menjana pendapatan daripada hasil penjualan barang yang boleh dikitar semula. Walaupun tidak lumayan, tetapi pulangan yang sedikit pada anda memberikan impak yang positif kepada dunia yang kita diami.
.

9. KERJAYA - NAIK PANGKAT
Semua orang ingin berjaya dalam kerjaya yang diceburi. Anda boleh menetapkan objektif dan cara bagaimana untuk mendapatkannya. Lengkapkan diri dengan ilmu dan pengalaman seperti mengikuti kelas-kelas dan kursus yang berkaitan dengan kerjaya yang anda ceburi. Anda perlu ada perasaaan sabar dan percaya pada kebolehan yang ada pada diri sendiri. InsyaAllah..Usaha...Doa dan Tawakal =Kejayaan.

.

10. PERGI BERCUTI
Dengan gaya hidup yang sibuk, ramai yang ingin merancang percutian untuk merehatkan diri dan minda. Sebelum bercuti pastikan anda merancang kewangan supaya tidak timbul isu terlebih budget. Jika anda merancang untuk bercuti pada tahun 2014 ini, disarankan agar anda menabung seawal mungkin. Disiplin diri penting dan terus fokus pada perancangan percutian anda. Tanya ejen pelancongan untuk mendapatkan pakej promasi yang menarik. Jangan lupa untuk membuat tempahan awal tiket penerbangan dan penginapan di hotel supaya percutian yang dirancang dapat direalisasikan. Siapa tahu dengan membuat tempahan lebih awal anda mendapat promosi dan tawaran hebat daripada hotel atau syarikat penerbangan.


Tiada apa yang mustahil jika anda tentukan matlamat anda dan berfikiran positif bahawa anda boleh mencapai matlamat tersebut. 
Selamat mengerjakan azam tahun baru. Semoga berjaya!

Nota kaki: Saya bukanlah orang yang pandai..tetapi hanya berkongsi sedikit ilmu dengan kawan-kawan hasil dari pembacaan saya. Saya juga belajar dari apa yang saya tulis di sini. Sama-sama kita belajar dan berkongsi ilmu. Ilmu yang bermanafaat tak baik sorok-sorok tau ...





You Might Also Like

0 comments: