Aku dan 2014..

12:51:00 am Sha Nazri 0 Comments

Aku menaip entri ini pada pukul 11.59 minit malam, satu minit sebelum bermulanya percikan bunga api dan laungan Happy New Year.  Situasi yang aku lihat di kaca TV sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Sejenak aku berfikir tentang semua perkara yang aku ingin dikurniakan pada 2014... secara jujurnya ​​aku rasa sangat bersyukur diberikan kehidupan, masih lagi dapat menghirup udara di bumi Allah. Ya..kadang kala aku ini lupa..begitu banyak yang Allah berikan, tapi terlalu sedikit yang aku syukuri.

Setiap hari aku  menonton TV dan melihat peperangan. Anak kecil kehilangan ibu dan ayah, menangis di jalanan meminta belas ehsan. Hari-hari yang di lalui penuh dengan ketakutan, kesedihan dan keperitan. Aku melihat jumlah kemusnahan yang sedang berlaku di dunia dan aku sangat-sangat bersyukur kerana aku masih lagi berada di bumi Malaysia. Bersyukur dengan kehidupan yang serba sederhana. Bersyukur dikurniakan anak, suami, ibu, ayah, keluarga dan rakan-rakan yang mengambil berat.
Sejujurnya aku tidaklah sempurna. Dalam aku meniti kehidupan ini, aku pernah tersadung dan jatuh di sepanjang jalan kehidupan. Aku bergelut dengan banyak perkara dan aku pernah menghadapi pelbagai jenis dugaan. Namun, setiap kali aku diselubungi kesedihan, ku pujuk hati..ah..ini baru sedikit ujian untukku..ada insan yang hidupnya lebih susah daripada aku.  Aku sentiasa percaya setiap ujian dari Allah itu adalah kasih sayang Allah kepada hambanya. Semua orang pasti akan mengalami musibah dan cabaran dalam pelbagai bentuk. Itu semua telah tertulis dalam sejarah hidup kita sejak di Lauh Mahfuz.

Aku ingin 2014 diisi dengan dengan kasih sayang dan kebahagian. Aku ingin lihat Syifa membesar  dan menjadi anak yang berjaya dunia akhirat. Aku mahu berada bersama orang-orang yang sentiasa memberi inspirasi kepada diriku untuk menjadi insan yang lebih baik. Aku ingin menjadi insan yang lebih baik..InsyaAllah..


You Might Also Like

0 comments: