Usang...sebuah kenangan yang tertinggal


 Hasill Nukilan Dayya
tangga itu
kayunya sudah rompong
ada anai-anai tumpang teduh
tunggu masa nak roboh

pintu itu
bagai selaput banting
ada kapur debu
juga busuk hancing

tingkap itu
angselnya sudah patah
papannya juga pecah

dari kejauhan
ada kenangan singgah
pada usang si rumah
juga lewat kasih yang tumpah
                                                                           

               
Rumah ini ialah tempat di mana saya di lahirkan dan di besarkan dalam kepayahan dua orang tua tempat saya mengadu, bermanja dan menumpang kasih. Walaupun dalam keadaan serba kekurangan..Alhamdulillah..saya bersyukur kerana kesusahan itu mengajar saya erti kehidupan. Jangan ditanya kemana ayah saya, kerana saya juga tidak begitu tahu kenapa dan mengapa dia tidak pernah menjenguk saya. Susah senang saya hanya pada emak dan arwah Opah tempat saya mengadu.

Rumah ini mempunyai berjuta-juta kenangan yang tersimpan di dalamnya. Saya masih ingat arwah Opah membakar lemang ketika menjelang Syawal di belakang rumah. Saya masih ingat ketika saya memanjat pokok rambutan di hadapan rumah dan di gigit kerengga. Saya juga masih ingat emak membawa kayu getah mengejar saya keliling rumah kerana saya tak ingat nak balik rumah walaupun senja sudah melabuhkan tirai.

Banyak kenangan yang saya rindu di rumah ini. Yang saya rindukan ialah kasih sayang yang tumpah di dalam rumah ini. Kasih sayang arwah Opah, kasih sayang emak..Yang saya rindu ialah peluk cium arwah Opah..Yang saya rindu ialah bunyi kokokkan ayam peliharaan arwah Opah dan suara arwah Opah ketika mengejutkan saya bangun pagi untuk ke sekolah..Sesungguhnya saya amat merindui semua itu..

Saya pernah berjanji pada arwah Opah semasa saya di sekolah rendah,
 "Opah..suatu hari nanti bila cha-cha dah besar dan dah kerja, cha-cha nak beli rumah banglo untuk Opah..Nanti Opah boleh duduk dalam rumah besar"
Arwah Opah hanya tersenyum mendengar kata-kata saya...

Saya masih ingat sewaktu menonton tv, arwah Opah mengalirkan airmata ketika melihat jemaah haji sedang tawaf di Mekah. Dia terlalu ingin menjejakkan kaki ke tanah suci. Saya peluk arwah Opah dan saya bisikkan ke telinganya..
"Opah nanti dah besar Chacha bawa Opah pergi Mekah. Opah jangan menangis ye..Chacha sayang Opah..."

Masih segar dalam ingatan saya arwah Opah pergi meninggalkan saya pada waktu saya sedang menjalani peperiksaan akhir tahun. Saya sangat sedih..sedih..tidak dapat saya gambarkan kesedihan saya. Saya pernah berdoa supaya bawa saya sekali bersama arwah Opah. Saya mendapat tempat tercorot dalam peperiksaan akhir tahun kerana saya seperti tiada semangat untuk pergi ke sekolah.

Saya melihat emak..saya mesti kuat supaya emak juga kuat. Saya mesti belajar rajin-rajin untuk berjaya..untuk emak dan arwah Opah...Saya mesti hargai pengorbanan emak yang berhenti kerja di bandar untuk menjaga saya. Saya mesti hargai penat lelah dan titik peluh arwah Opah yang berpanas berhujan menoreh getah untuk menyara saya. 

Kucupan terakhir saya buat arwah Opah juga di rumah usang ini. Saya pegang erat kaki arwah Opah yang pucat itu. Saya kucup kaki yang telah menjaga dan sanggup bersusah payah untuk saya. Salamat jalan Opah..saya sayang Opah...

Oh! rumah ini terlalu banyak kenangan buat saya. Hari ini, rumah usang ini terbiar sepi. Entah berapa lama lagi rumah ini masih boleh bertahan. Rumah ini mungkin akan roboh suatu hari nanti, tapi kenangan didalamnya akan tetap tersemat di hati saya.

Semoga arwah Opah tenang di sana dan bersama-sama orang-orang yang beriman. 
Alfatihah untuk arwah Opah saya.




No comments:

My Instagram