Sawan Demam Panas : Pengalaman Menakutkan

Assalamualaikum semua..

Alhamdulillah..
Syukur saya dan Syifa selamat pulang ke rumah
 setelah kami melalui percutian yang tidak di rancang di hospital Ampang.

Sesungguhnya apa yang berlaku pada hari Khamis minggu lepas sangat-sangat menakutkan saya.
 Melihat Syifa dalam keadaan tidak berdaya..seluruh tubuhnya kejang..saya menjadi takut, panik...
Saya menangis semahu-mahunya kerana saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan pada ketika itu.
 
Bukan saya tidak pernah mendengar tentang sawan demam panas, tetapi saya tidak pernah menyangka ia akan berlaku pada anak saya. Malah, sebelum ini saya pernah terbaca sepintas lalu berkenaan perkara ini, tapi..ialah sikap tidak mahu ambil pusing..mungkin berlaku pada anak orang lain..tapi tidak pada anak saya.
Mungkin juga sudah menjadi adat..bila sudah terhantuk barulah terngadah…

Bila berlaku pada anak sendiri, barulah saya sedar..
sawan demam panas boleh berlaku pada mana-mana anak kecilpun..seawal usia 3 bulan hingga mencapai usia 6 tahun.  

Masih terbayang-bayang di hadapan mata saya peristiwa yang tak mungkin dapat saya lupakan.
Hari Isnin yang lepas Syifa dah mula demam. 
Mungkin berjangkit daripada Encik Hubby yang dua tiga hari sebelumnya pulang dari outstation membawa virus demam, batuk dan sakit tekak. 
Saya pun hampir-hampir terkena tempias sakit tekak dan batuk. 
  Tapi cepat-cepat ambil langkah ..minum air banyak, makan ubat dan elakkan minum air sejuk. Bagi orang dewasa macam saya tentulah tiada masalah nak makan ubat, tapi tidak pada Syifa. 
Baginya makan ubat adalah benda yang sangat mengerikan. 

Masa makan ubat untuk Syifa adalah perkara yang sangat mencabar.
Dari jauh dah boleh dengar jeritannya..
Walaupun sudah berkali-kali dipujuk rayu, 
Syifa tetap tak mahu makan ubat demam yang saya berikan. Dalam bab makan ubat ini, saya perlu berlaku sedikit kejam. Pegang kaki, tangan dia erat-erat..Pangku di riba sambil memeluknya supaya dia tak terlepas dari pegangan saya... Barulah saya dapat masukkan ubat kedalam mulutnya.

                “Syifa makan ubatlah ye sayang..nanti cepat sihat..boleh makan ayam goreng”

“Kalau Syifa makan ubat nanti mama bawak pergi jalan-jalan”

“Syifa nak jadi doktor kan..makan ubat ye..nanti kita boleh main doktor sama-sama”

Pelbagai lagi kata-kata motivasi yang saya berikan supaya Syifa makan ubat, namun semua tu ibarat mencurah air ke daun keladi. 

Hari berikutnya, demam Syifa belum kebah lagi. Nampaknya ubat demam yang saya berikan kurang memberikan kesan pada Syifa.  
Suhu badan Syifa naik turun. Bila malam semakin tua, semakin panas suhu badannya. Paling tinggi 37.9 celcius. Nasib baik ada thermometer di rumah yang saya beli sejak Syifa masih bayi lagi, dapat membantu saya monitor suhu badan Syifa.

Siangnya, saya mandikan Syifa dengan air paip sejuk. Menggigil-gigil Syifa dalam tangisan sambil menepis-nepis hand shower yang saya siramkan di badannya.
Malam hari pula bersengkang mata..lepas masuk ubat pung****, saya  mengelap badan Syifa dengan tuala basah. Bila terjaga, ditariknya tuala yang saya tuamkan di atas dahinya. Mungkin terasa sejuk dengan tuala yang saya basahkan itu.

 Hari Rabu saya bawa Syifa ke Klinik Izham..
Doktor cek suhu..suhu badannya sudah turun..Alhamdulillah..  
Syukur.. doa saya dimakbulkan Allah. Cuma hari itu doktor bagitahu saya tekak Syifa ada ulser..bengkak dan luka. Doktor nasihatkan saya supaya kerap berikan Syifa minum air kosong atau jus buah-buahan yang sejuk dan makanan lembut.
Patutlah dalam beberapa hari ini Syifa tak nak makan. 
Saya pula bagi dia minum air suam, makan sup panas, sebab sudah menjadi tradisi sejak zaman-berzaman bila saya demam mak saya akan berikan makanan yang suam-suam. 
Dalam beberapa hari ini Syifa cuma minum air masak, makan buah epal dan sayur-sayuran. 
Yang lain semua di tolaknya ke tepi. 

Hari Khamis saya lihat Syifa lebih bersemangat. 
Pagi itu dia makan biskut 2 keping dengan minum jus. 
Saya dah tak bagi dia makan panas-panas. 
Macam biasa, Syifa akan minta saya on TV dan pasangkan Upin Ipin.
Lepas tu pasangkan pula lagu kegemarannya daripada Mothers Goose Club
Syifa nampak sangat happy menari-nari mengikut rentak lagu tu. 
Tapi bila dia melihat syringe berisi ubat di tangan saya, dia mula menjerit sekuat hati.
Bermula dari saat itu, angin Syifa jadi kurang baik. Dia sentiasa merengek.. bila saya nak suapkan nasi, Syifa tak nak..bagi coklat Kit Kat kegemarannya pun dia tak nak. 
Saya berikan dia biskut..buah..semua dia tak mahu.

Saya duduk di sofa dengan sepinggan nasi, dan mula menekan remote control , pasangkan Upin Ipin dengan harapan dapat meredakan sedikit tangisan Syifa.
Syifa berdiri dihadapan saya, masih menangis..

Tiba-tiba saya lihat badannya terhuyung hayang, tidak dapat berdiri dengan stabil. Saya tidak sempat menariknya daripada jatuh. Kepalanya terhentak diatas karpet ruang tamu. Dan..bermulalah saat yang paling menakutkan dalam hidup saya. Saat ini saya akan kenang sampai bila-bila.
Saya lihat tubuh Syifa menggeletar. Kakinya kejang..Kedua-dua belah tangannya seperti menarik-narik ke atas. Giginya di ketap sekuat-kuatnya. Air liur mengalir membasahi bibirnya. 
Matanya memandang ke atas.

Ya Allah!! Saya terus menerpa kearah Syifa. Saya tidak tahu apa yang perlu saya buat.
Saya betul-betul dalam ketakutan. Saya memanggil-manggil nama Syifa..

Syifa masih berkeadaan begitu..Saya rangkul tubuh kecil itu dan saya baringkan Syifa di atas katil, mencari-cari handphone untuk call Encik Hubby yang berada di office. 
Baru sahaja 3 patah perkataan saya sebut, 
“abg, cepat balik..Syifa…” handphone mati, kehabisan beteri.

Mak saya sudah menangis sambil tersedu-sedu menambahkan lagi rasa takut dan panik saya.
Saya tidak boleh menunggu lama. Encik Hubby mungkin ambil masa yang agak lama untuk pulang ke rumah atau menelefon saya semula. 
10 minit kemudian, saya lihat Syifa sudah tidak bergerak. 
Ya Allah..hati saya merintih.. Tolong  jangan ambil Syifa. Jangan! Tolong jangan!
Mungkin bodoh sekali saya berfikir sampai ke tahap itu, tapi melihat tiada lagi nafas yang turun naik di dada Syifa, membuatkan saya hilang pertimbangan, saya takut kehilangan…Saya ingin merasa tua bersama Syifa. Saya ingin lihat Syifa membesar menjadi anak yang  berjaya.
Saya memapah tubuh kecil Syifa yang sudah terkulai layu sambil mencapai tudung dan beg kecil yang berisi  dokumen pengenalan diri. 
Saya berlari menuruni anak tangga ke rumah jiran di tingkat bawah.
Mak memanggil-manggil nama saya sambil menghulurkan handphonenya.
Waktu dinihari begini, di rumah saya, semua orang keluar bekerja. Saya cuma berdoa Kak Dah di tingkat bawah rumah saya ada di rumah pada waktu itu.
Saya goncang pintu grill Kak Dah sekuat hati.
Kak Dah membuka pintu.
”Kak, tolong saya kak..anak saya pengsan..”

Kak Dah nampak terkejut, dia terus menyambar jubah dan kain tudung,dan tanpa banyak soal Kak Dah terus menyuruh saya tunggu di kereta yang terletak di parkir tingkat bawah..
Dia terus memecut kereta mambawa saya dan Syifa ke hospital.

Dalam kereta, handphone dalam beg kecil saya berbunyi, nasib baik mak memberikan handphonenya untuk saya bawa. Manalah tahu nanti bila tak dapat call handphone saya, Encik Hubby akan call nombor mak saya, bila dia terima panggilan yang singkat daripada saya sebentar tadi.
Dengan berlinangan airmata, saya bagitahu Encik Hubby, Syifa pengsan dan saya dalam perjalanan ke hospital. Encik Hubby suruh saya basahkan badan Syifa, tapi dalam keadaan panik dan kelam kabut, saya langsung tak terfikir benda yang sangat penting tu.
Selang 15 minit kemudian, Encik hubby menelefon saya, meminta Kak Dah menghantar saya hingga Balai Polis Ampang Jaya kerana dia sudah menunggu di situ. 

Separuh perjalanan, saya menaiki kereta Encik Hubby ke hospital Ampang. Dalam kereta, saya basahkan badan Syifa dan kepalanya dengan air. Syifa masih belum sedarkan diri.
Mulut saya masih memanggil-manggil nama Syifa. Tapi masih tiada tindak balas. Hati kecil saya sudah mula takut..takut apa akan jadi selepas ini..takut Syifa sudah tidak aktif seperti dulu..macam-macam perkara dalam fikiran saya.
.
30 minit di dalam kereta mengharungi jalan yang sesak, akhirnya saya sampai di hospital. Syifa mula menunjukkan tanda-tanda yang dia sudah sedar. Saya terus menerpa ke kaunter saringan.
Saya di bawa ke zone kuning.

Sampai di wad, Syifa sudah membuka mata. Dia menangis..Tangisan Syifa buat saya lega sedikit.  Syifa akan sihat. Kami akan pulang ke rumah, bermain playdoh dan coloring book sama-sama.

Tangisan Syifa semakin bergema bila nurse datang untuk mengambil darah. Agak lama juga nurse dan doktor yang datang mengambil darah berada di katil dek kerana cuba menghalang tepisan tangan Syifa yang meronta-ronta minta dilepaskan. Hati saya sayu mendengar dari balik tabir yang menutupi katil..suara Syifa berkata..Tak nak! Tak nak! “
Memanggil-manggil saya..”Mama! Mama! Nak alikkk!”
Lebih kurang 5 minit menunggu, tirai yang menutupi katil Syifa di buka oleh nurse. Tangan kanannya berbalut dan di masukkan drip. Tangan kiri bertampal dengan kapas dan plaster akibat dari kesan mengambil darah.

Setiap kali manusia berbaju putih datang menghampiri Syifa, setiap kali itulah dia meraung .
 “Tak nak! “
“Nak alik! Jom alik sana!” Sambil menunjukkan pintu keluar masuk wad.

Saya cuba tenangkan Syifa.

“Nanti kita balik ye..Sekejap je kita kat sini. 
Syifa sakit, dah sihat nanti kita balik, mama bawak Syifa jalan-jalan ye...”

Tapi kata-kata pujukan itu langsung tidak meredakan tangisannya.

Jam sudah menunjukkan pukul 2.45 pm.
Saya lihat Syifa sudah terlena dalam pangkuan saya. Penat menangis agaknya..
Tapi.. tak lama selepas itu, dia terjaga semula dan bila dia melihat dia masih ditempat yang sama, tangisannya kembali bergema. Kali ini lebih kuat..

Baru sahaja saya ingin mendukungnya...
tiba-tiba  badan Syifa menggeletar lagi sambil tangannya menarik-narik keatas.
Saya memanggil nurse yang berada di kaunter dengan sekuat hati minta pertolongan.

Serta merta doktor dan nurse menolak katil Syifa ke bilik kecemasan. 
  Syifa di pasangkan dengan wayar-wayar di tubuhnya.
 Ada nurse yang masukkan ubat dan memakaikan topeng oksigen pada Syifa.

Airmata saya berjujuran. Saya tidak dapat menahan kesedihan. 
Saya tidak pernah melalui perkara seperti ini.

3 minit kemudian, Syifa sudah mula tenang.
  Kesan daripada ubat yang di berikan doktor sebentar tadi membuatkan dia terus tertidur.


Ya Allah..mudah-mudahan Syifa akan cepat sembuh…

Jam sudah menunjukkan pukul  4.45 pm..
barulah Syifa di pindahkan ke wad kanak-kanak yang berada di tingkat 4B.

Hari pertama dalam wad sememangnya mencabar. Walaupun sebelum ini Syifa pernah di masukkan ke wad kerana cirit birit dan jangkitan kuman dalam usus..tapi kali ini sangat berbeza kerana setiap kali terjaga Syifa akan menangis. Dia tak mahu baring di atas katil.  Dia cuma ingin di dukung. Bila nurse dan doktor datang memeriksanya, dia menjadi sangat fobia. 
Dia akan mula menangis dan berpaut pada leher saya sekuat hatinya.

Malam di Wad 4B..
saya tidur berkongsi katil kanak-kanak dengan Syifa. 
  Memang kurang selesa ditambah pula dengan  panjang katil 
yang hanya dikhaskan untuk kanak-kanak. 

Kerana tersangat letih, saya melabuhkan badan di atas katil yang berpalang besi di kiri kanan. 
Ibu-ibu yang lain juga tiada pilihan, mereka pun senasib dengan saya..
berkongsi katil comel dengan anak.
Hingga ke pukul tiga pagi, Syifa tidur sangat lena.  
Cuma sesekali terdengar suara kecilnya bila nurse
 datang memasukkan ubat dan memeriksa suhu badannya.

Kesian anak mama..banyak yang di laluinya hari ini. Walaupun penat sikit hari ini, mata saya masih belum mahu lelap. Sekejap-sekejap terdengar bunyi tangisan si kecil di sebelah katil saya. Sekejap lagi tangisan anak kecil di depan, di kiri, di kanan..Tangisan yang bergilir-gilir itu membuatkan mata saya celik hingga ke pukul 3 pagi. Bila keadaan kembali sunyi, Syifa pula terjaga. Tapi kali ini dia tidak menangis. Dia minta saya suapkan nasi. Hati saya berbunga riang bila saya melihat Syifa mula mahu menelan makanan pejal setelah 3 hari berturut-turut seleranya kurang. 
Nasib baik Encik Hubby ada bekalkan saya dengan nasi petang tadi semasa dia datang untuk menghantar baju persalinan untuk saya dan Syifa.
Alhamdulillah..Syifa makan dan minum, walaupun tak banyak,
 tapi itu sudahpun membuatkan saya bahagia.

Selesai makan, Syifa mula menyanyi lagu A B C D E F G sambail mengira jari kakinya..1..2..3..4..5..
Agak-agak volume suara Syifa tu terkuat sedikit, saya pesan kat dia, Syifa jangan nyanyi kuat sangat ye, baby nak tidur..
Syifa membalas kata-kata saya, “Sian baby..nangis..sakit…”
Saya mengiyakan kata-kata Syifa yang sudah mulai bersemangat sedikit.

30 minit lepas tu Syifa tidur semula dan saya pun dapat melelapkan mata hingga ke pukul 7 pagi, terlepas solat subuh..cepat-cepat saya bangun, mandi, gosok gigi sebelum Syifa terjaga. Nanti dia dah bangun, takut dia menangis lagi bila dilihatnya saya tiada disebelahnya.



Bermain di Play room Hospital Ampang.
Lepas sarapan pagi, Syifa nampak ceria..


Selesai sarapan pukul 8.30 pagi, Syifa nampak semakin aktif. Demam pun semakin kurang.
Pukul 11 pagi doktor Priya datang bertanyakan khabar. Alhamdulillah..Syifa tak meragam dan tak  fobia atau menangis bila doktor memegang dan menyentuhnya.
Doktor Priya banyak menggunakan pendekatan psikologi..Cara dia approach Syifa membuatkan Syifa lebih selesa dan tenang.
 Banyak nasihat dan panduan yang di berikannya supaya saya lebih bersedia apabila menghadapi situasi seperti ini kelak. Oh! Moga-moga saya tidak melaluinya lagi…

Saya sempat bertanyakan pada Doktor Priya tentang sawan demam panas ini..ada ke kesan jangka panjang terhadap perkembangan otak dan tumbesaran anak. Doktor Priya menafikannya. Menurutnya, ada kemungkinanan sawan ini akan berulang tetapi ia tidak meninggalkan kesan negatif kepada perkembangan anak. Cuma ibu kena sentiasa berwaspada bila nak demam.
Pastikan lap badan anak sekerap yang mungkin 
dan mandikan anak supaya dapat turunkan suhu badan.
Kalau terjadi juga sawan melebihi 5 minit atau sekejap
 tapi berulang-ulang segera hantar anak ke hospital.

Tersenyum sambil menyapa kawan di hadapannya..

Saya sempat menyapa salah seorang ibu di sebelah katil saya. 
Anaknya yang baru berusia 3 bulan juga di masukkan ke hospital kerana sawan demam panas. 
Dia terus menghantar anaknya ke hospital apabila mendapati mata anaknya ke atas dan sudah tidak bergerak lagi. Mujurlah tiada perkara yang serius berlaku pada anaknya.

Cerita si ibu yang katilnya di hujung wad ni pun hampir sama. Anak perempuannya yang berusia 5 tahun juga mengalami sawan demam panas. Menurut ibu yang saya panggil kakak itu, pada hari Jumaat yang lepas, anaknya sudah 8 kali kena sawan demam panas . Sebelum ini, anak lelakinya juga pernah mengalami sawan demam panas. Banyak perkara yang di kongsikan oleh kakak yang daripada Hulu Langat ni kepada saya. Sebagai ibu yang sudah melalui pengalaman menghadapi situasi ini berulang-ulang kali,  dia tahu apa yang perlu di lakukan bila anak terkena sawan demam panas.

“Kakak dulu pun sangat takut dan tak tahu apa yang perlu di buat bila anak lelaki kakak tiba-tiba menggeletar, mata ke atas”  katanya kepada saya.

Tapi sekarang ini pengalaman yang lepas menjadikan
dia lebih bersedia untuk menghadapinya kali ini.
Ini semua kan dugaan dari Allah..Manusia yang kuat di duga tandanya Allah kasih. Lagi kuat di uji, seharusnya kita lagi dekat dengan Allah. Ujian ini bukan kerana Allah tak sayang..tapi Allah ingin lihat bagaimana kamu menghadapinya..

Kata-kata kakak itu akan saya ingat..dan jadikan nasihat yang berguna buat diri saya.

Pengalaman yang saya lalui ini, mengingatkan diri saya supaya tidak bersedih, kerana apa yang saya lalui hanya sedikit. Ada ramai lagi insan di luar sana yang di uji dengan dugaan yang maha hebat daripada saya. Tapi mereka tetap sabar,tabah dan meneruskan hidup.



A B C dan 1..2..3..


Saya tidak berseorangan menghadapinya. Encik Hubby sentiasa ada bila saya perlukan. Saya juga tidak sangka bila saya menceritakan perkara ini kepada kawan baik saya, rupa-rupanya anaknya juga pernah mengalami perkara yang sama. 
Sudah  3 kali anaknya dimasukkan ke hospital kerana sawan demam panas.

Bila saya dengar cerita dari ibu-ibu yang pernah mengalaminya, saya sudah semakin kuat. Selepas ini saya sudah tahu apa yang harus saya lakukan bila menghadapi keadaan seperti ini.
 Terima kasih Allah..
Kalau saya tidak melaluinya, saya tidak akan dapat berkongsi kisah ini dan saya juga tidak akan tahu bagaimana untuk melalui saat-saat cemas seperti kelmarin.
Saya perlu sentiasa berjaga-jaga bila anak demam, pastikan badan anak di lap dan mandikan anak untuk turunkan suhu. Perlu sentiasa beringat kerana bila anak pernah terkena sawan demam panas, kemungkinnan besar ia akan berulang.


Dah penat main..Jom kita pergi lunch..

Untuk ibu-ibu di luar sana, saya harap dengan perkongsian daripada pengalaman saya yang tak seberapa ini dapat menjadi panduan untuk kita bersama.

Alhamdulillah..Syifa dah sihat..

Terima Kasih Allah!

Terima kasih yang tak terhingga buat jiran saya..menghulurkan bantuan saat saya tidak berdaya tanpa banyak soal..
Hanya Allah yang dapat membalas budi baik Kakak...

Terima kasih rakan-rakan yang mendoakan Syifa.

Thanks to my dear friend, Yung Mee..bersusah payah nak datang melawat Syifa  tapi tak kesampaian..
Thank you so much for helping me out during these very difficult times..

My Instagram