Kisah Opah dan Ramadhan

1:26:00 am Sha Nazri 0 Comments


Akhirnya Ramadhan yang di tunggu-tunggu 
oleh seluruh umat islam di dunia telah tiba.
Alhamdulillah..
syukur saya masih hidup dan dapat bertemu 
dengan bulan yang penuh barakah di tahun 2015.

Sayu dan tiba-tiba sebak…teringat arwah Opah…

Tiap kali datang bulan ramadhan, 
arwah Opah yang saya panggil “Pah”, 
orang yang paling sibuk di dapur menyediakan makanan untuk bersahur.
 Ketika itu saya masih di sekolah menengah.

Opah bangun seawal 4 pagi, menyediakan nasi goreng. 
Bau nasi goreng Opah mengejutkan saya dari tidur yang lena. 
Tiada nasi goreng yang dapat menandingi nasi goreng Opah..
sebab Opah masak dengan penuh kasih sayang.

Mak bekerja di KL mencari nafkah untuk saya dan Opah.
Mak balik menjenguk saya dan Opah 
waktu hujung minggu untuk menghantar duit belanja.

Sejak saya lahir, arwah Opah lah yang menjaga saya,
 sehingga saat-saat akhir pemergiannya dia masih menjaga saya.

Secawan air kopi..
itulah kali terakhir saya menghirup air kopi yang dibuat 
Opah untuk saya berjaga malam mengulangkaji pelajaran 
sewaktu saya menghadapi peperiksaan.

Esoknya, waktu petang selepas saya pulang dari sekolah, 
saya dikejutkan dengan suara Opah dari bilik air.
Mujur masa itu mak ada di rumah..
Saya bergegas ke bilik air, mak meminta saya mengangkat Opah ke luar.
 Tubuh Opah tidak boleh bergerak, tapi suaranya masih ada meminta di berikan air.
Saya masih ingat kata-kata terakhir Opah..
“ Bagi aku air, aku dahaga sangat”..
Air..air..perkataan itu yang diulang-ulang beberapa kali.

Selepas saya berikan Opah air, Opah terus terlena.
 Saya baring  disebelah Opah.
Saya melihat wajah Opah sangat tenang.
Waktu itu saya yang masih berusia 16 tahun,
 tidak menyangka apa-apa yang buruk akan berlaku.
Saya menyangka Opah sedang tidur, mungkin terlalu penat.

Selepas waktu asar, saya kejutkan Opah, 
sebab jiran saya baru balik dari menunaikan haji, 
ada sedikit buah tangan yang dibawa dari Mekah untuk diberikan pada Opah.

Saya panggil Opah, tapi Opah masih tidur lena. 
Dadanya turun naik menghembus nafas. 
Sesekali nampak seperti Opah menyedut nafas panjang, 
menahan nafas dan menghembus perlahan-lahan.
Saya bagitahu mak yang Opah masih tidur lagi. 

Sampailah waktu Isyak, mak dah mula risau kerana 
Opah masih belum bangun lagi sejak petang tadi.
Mak panggil jiran, Makcik Siah datang dengan suami dan anak-anaknya ke rumah saya.
Sejak petang tadi Opah belum lagi makan dan minum.
Bila nama Opah dipanggil, mulutnya terbuka sedikit 
seperti ingin meminta sesuatu, tapi matanya masih terpejam. 

Mak sudukan air susu ke mulut Opah, 
kerana itu sahaja yang  mampu dilakukan pada ketika itu. 
Air susu yang di berikan mak ke mulut Opah mengalir ke luar,
 tidak di telan setitis pun.

Kebetulan, jiran saya, Makcik Siah baru balik dari Mekah 
dan ada membawa air zam-zam.
Disudukan air zam-zam ke mulut Opah.
Air zam-zam itu terus masuk ke mulut Opah dan 
nampak Opah menelan air zam-zam tadi walaupun matanya masih tertutup. 
Subhanallah..

Saya mula mengerti sekarang..
betapa dalam waktu Opah sedang merasai kesakitan saat-saat terakhir hayatnya, 
Opah masih boleh membezakan air yang di minumnya.

Saya melihat Opah semasa hayatnya, 
tidak pernah sekalipun tinggalkan solat, selalu amalkan puasa enam, 
tiap-tiap malam baca Yassin dan selalu bertasbih selepas solat.
Arwah Opah akan koyakkan kertas kecil-kecil. 
Satu kertas kecil tu mewakili 1000x bacaan tasbihnya.
Dia akan kumpul kertas kecil-kecil tu dalam Muqaddam,
 setiap malam Opah akan kira berapa tasbih yang telah di bacanya. 
Kalau tak cukup, Opah akan berjaga malam
 sampai bilangan tasbih yang dibacanya cukup 10,000x.

Malam tu, Paksu saya pulang ke rumah dan
 terus membawa Opah ke Hospital Kuala Lumpur. 
Saya dengar cerita Mak Su yang Opah di masukkan ke ICU.

Saya dan mak tinggal di rumah, sebab esoknya saya
 akan kesekolah, ada peperiksaan.

Malam itu, saya tak boleh lelapkan mata. Hati saya berdebar-debar.
Saya bangun, ambil wuduk dan solat hajat.
Dalam doa saya, saya mohon hajat saya di makbulkan.
Dengan linangan airmata , 
saya berdoa pada Allah tolong jangan ambil nyawa Opah saya.
Saya mohon agar Allah panjangkan umur Opah 
supaya Opah dapat melihat saya berjaya.
Saya pernah berjanji untuk tunaikan satu-satunya impian Opah, 
bila saya dah bekerja,
 saya nak bawa Opah ke tanah suci Mekah.

Esok petang, saya menerima berita yang paling saya takuti selama ini.
Allah telah menjemput Opah..
Opah telah pergi selama-lamanya.
Sedihnya saya memang tak dapat di tahan-tahan. 
Saya menangis semahu-mahunya.

Sehingga satu tahap saya ingin pergi bersama arwah Opah.
Ambillah nyawa saya supaya saya dapat bersama 
dengan arwah Opah ketika itu.
Waktu saya kecil hingga saat itu,
cuma ada dua nama sahaja yang paling saya sayang..
arwah Opah dan Mak saya.
Walaupun saya ada ayah dan seorang abang, 
tapi mereka seperti tidak pernah wujud dalam hidup saya.

Memang susah nak terima hakikat yang Opah telah tiada.
Malam itu, jenazah Opah sampai dirumah dengan menaiki ambulan.

Jenazah Opah di baringkan di ruang tamu 
dengan kain putih yang membalut badan Opah.
Muka Opah agak sedikit mengembang 
dan di sekelilingnya di ikat dengan kain putih. 
Wajahnya tenang..tanpa sebarang bau yang kurang menyenangkan.

Sebelum ini saya agak takut-takut melihat jenazah
. Saya akan duduk paling belakang
 bila ada orang meninggal dunia terutama dalam ahli keluarga terdekat.
Tetapi bila saya lihat jenazah Opah, saya tiada langsung rasa takut.

Saya duduk disebelah jasad Opah, 
membacakan surah Yassin yang di ajarkan arwah Opah kepada saya.
Hati saya lebih tenang semasa saya membacakan surah Yassin untuk arwah Opah.
Tiada setitis airmata pun yang mengalir. 

Saya lihat sekujur tubuh kaku di hadapan saya. 
Saya pegang kaki Opah. Sejuk..pucat..kaku..
Tubuh inilah semasa hayatnya yang telah menyambut kelahiran saya.
 Inilah orangnya yang telah menukarkan lampin, 
membersihkan najis dan hancing kencing saya semasa saya masih bayi.
Dia juga yang bersengkang mata menjaga saya ketika saya demam, sakit..
Dia juga yang memandikan saya, memakaikan saya pakaian, 
menunaikan permintaan saya di saat saya merengek meminta di belikan sebuah kamera.
Dia juga yang berhempas pulas mencari rezeki, bangun seawal pagi,
 berjalan kaki ke kebun untuk menoreh getah.

Walaupun hidup sederhana, kalau ada rezeki lebih, 
arwah Opah akan belikan ketam atau udang untuk hidangan waktu berbuka.
Sambal udang petai dan sup ketam air tangan Opah 
memang menjadi kegemaran saya. 
Oh! alangkah rindunya saya dengan masakan arwah Opah.

Malam itu saya tidur di sebelah Opah. Itu kali terakhir saya dengan Opah.
Saya masih mengingati setiap detik terakhir bersama Opah.

Melalui pengalaman sebegini dalam usia yang muda, agak sukar bagi saya.
Selepas Opah meninggal, saya demam seminggu dan hilang semangat untuk ke sekolah.
Saya tidak mengambil peperiksaaan, pertama kali dalam sejarah, 
saya mendapat tempat paling corot dalam kelas.

Malam ke 7 arwah Opah datang dalam mimpi saya.
Dalam mimpi saya, Opah datang ke rumah, memakai pakaian serba putih.
Saya tidak dapat melihat wajah Opah dengan jelas kerana ada cahaya yang melindunginya.

Saya menyambut Opah di tangga rumah dengan perasaan yang terlalu gembira.
Dalam mimpi saya, saya berkata.. Opah dah balik!!
Bila saya terjaga, saya kembali ke alam realiti.
Saya beristighfar..Opah dah takde…

Sesungguhnya memang saya sangat merindui saat-saat dengan arwah Opah.
Saya bersyukur pada Allah.. saya masih ada mak..Susah senang dengan mak.
Sekarang ada Encik Hubby yang sentiasa bersabar dengan kerenah saya.
Dan juga penyeri hidup kami, Syifa Hana.
 Kalau arwah Opah masih ada..tentu dia ..
Ah..Opah dah takde..

Saya bersyukur 16 tahun saya dapat bersama dengan arwah Opah.
Allah dah berikan peluang kepada saya untuk hidup bersama Opah yang paling baik di dunia ini.
Mudah-mudahan arwah Opah di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
Al-fatihah untuk arwah Fatimah Binti Baginda.
The Best Opah in the World!

p/s: Selamat menunaikan ibadah puasa.
Mohon maaf kalau terkasar bahasa.
 Hargailah setiap insan yang masih ada.
Jika masih ada ibu ayah..pulanglah..
Sambut ramadahan bersama mereka..
supaya ramadhan ini lebih bermakna..




























You Might Also Like